Barang lima bintang, harga satu bintang'
KOTA KINABALU 10 Mac - Mahukah anda memiliki barangan keperluan rumah seperti perabot, tilam, katil, almari, sofa, perhiasan dan barangan elektrik - semuanya berkualiti lima bintang tetapi hanya pada harga satu bintang atau langsung tiada bintang!
Semuanya tidak mustahil apabila anda melangkah masuk ke dalam kedai dua tingkat, Second Hand Shop, milik Fazilah Abd. Kadir, 36, dan suaminya, Hisyam Abdullah Yong, 49.
Kedai tersebut terletak berhampiran bangunan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah di sini dan dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang, kecuali Ahad iaitu mulai 10 pagi hingga 7 malam.
Harga ditawarkan amat menarik hingga seperti tidak masuk akal jika dibandingkan dengan kualiti barangan iaitu bermula daripada 50 sen hinggalah kepada paling mahal, RM8,000 iaitu set sofa kulit dari Itali.
Stok barangan amat istimewa atau lebih tepat lagi pengeluarannya amat terhad kerana ia didatangkan khas dari hotel-hotel terkenal di Eropah, Jepun, Korea, China, Hong Kong dan Singapura.
Kebanyakan perabot itu tidak dibuat dalam bilangan tinggi untuk pasaran luar tetapi sebaliknya ia dikeluarkan khusus secara eksklusif berdasarkan kepada permintaan hotel-hotel berkenaan sahaja.
Justeru, pembelinya amat bertuah kerana setiap barangan yang diperoleh sudah pasti tidak akan sama dengan orang lain, iaitu tiada model atau siri kedua memandangkan setiap bekalan yang tiba langsung tidak menyamai stok terdahulu atau yang akan datang.
Maka, tidak hairanlah apabila Fazilah menceritakan bagaimana terdapat seorang pelanggan setianya, wanita berasal dari England yang akan datang memilih dan membeli barangan setiap kali stok baru tiba.
"Apabila ditanya mengapa beliau selalu membeli barangan dan bagaimana dia menggunakannya, wanita itu menjawab bahawa beliau sukakan reka bentuk dan kualitinya.
''Malah, kebanyakan produk yang dijual itu terlalu murah jika dibandingkan dengan harga sebenar.
"Beliau juga suka mengumpul koleksi barangan yang sukar untuk diperoleh itu, selain perabot,'' katanya yang memulakan perniagaan itu kira-kira dua tahun lalu dengan modal permulaan kira-kira RM100,000.
Tambahnya, pelanggan wanita itu juga gemar membeli gambar-gambar dan lukisan yang didakwanya hasil karya artis terkenal berdasarkan kepada ciri-ciri tertentu termasuk tandatangan atau motif tersendiri padanya.
Menceritakan semula penglibatannya dalam perniagaan, Fazlina berkata, perniagaan perabut terpakai itu bukan merupakan yang pertama tetapi yang ketiga membabitkan barangan terpakai.
Pada 1999, beliau memulakan langkah dengan menjual kertas akhbar lama bagi dikitar semula dan pakaian terpakai yang dijual secara bergerak di kawasan pedalaman Sabah.
Selepas itu, setapak demi setapak beliau bersama suami terus melangkah ke hadapan mencuba bidang baru iaitu pembinaan dengan menyertai kursus-kursus dan bengkel anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara).
"Saya ini boleh dikatakan sebagai anak didik Mara, iaitu agensi yang banyak memberi bantuan dan galakan selain tidak putus-putus memberi khidmat nasihat mengenai perniagaan kepada kami berdua," katanya yang berasal dari Kudat.
Tambah Fazlina, penglibatan secara serius dalam perniagaan perabut terpakai itu bermula apabila seorang rakannya dari Semenanjung yang turut menjalankan perniagaan sama, mencadangkan supaya dimulakan perniagaan itu di Sabah memandangkan ia masih belum diterokai oleh mana-mana individu lagi di negeri itu.
Kedai itu selain dikunjungi oleh peminat koleksi perabot terbaik, turut menjadi pilihan utama pengusaha bajet-bajet hotel dan program inap desa daripada seluruh Sabah.
Pengunjungnya akan bertambah setiap kali stok barangan tiba dan semasa hujung minggu serta menjelang musim-musim perayaan utama di negeri itu.
Mengenai perancangan masa hadapan, Fazlina yang optimis perniagaannya itu akan terus berkembang bercadang untuk memiliki bangunan sendiri untuk dijadikan sebagai bilik pameran.
"Kami juga berhasrat membuka cawangan di Sarawak dan sekitar bandar-bandar besar di Sabah seperti Sandakan dan Tawau dalam masa terdekat ini, insya-Allah segala perancangannya berjalan lancar dan akan menjadi realiti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
setiap pertanyaan boleh whatssup atau sms saya 019-8013761 terima kasih
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.